Monday, July 19, 2010

Tiga warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Alor Star Kedah

ALOR SETAR: Tiga warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, Ahad selepas didapati bersalah mengedar 1,858.6 gram ganja di Sungai Petani, lima tahun lepas. Hakim Datuk Zamani A. Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes itu menimbulkan keraguan munasabah.

Amri Alamsyah, 41, Iskandar Ibrahim, 33, dan Muhammadiah Hasan, 31, dituduh mengedar dadah di hadapan kedai Chin Hin Motor Sdn Bhd, No. 10, Jalan Kampung Baru, Sungai Petani dekat sini pada 2.30 petang, 6 April 2005.

Semua tertuduh yang berasal dari Aceh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, Rafidi Mohamad berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim. - BERNAMA

No comments: