Wednesday, July 2, 2008

Nirmala pernah dirawat sakit mental - Saksi

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat dikatakan pernah dimasukkan ke Hospital Puekesmas di Kupang, Jawa Timur bagi rawatan sakit mental pada usia mudanya.

Perkara itu didedahkan oleh Fermina Anunut, sepupu Nirmala melalui rakaman percakapannya bertarikh 24 Mei 2004 yang dibacakan oleh pegawai perakam pada ketika itu, Pemangku Asisten Supritendan Ranjit Singh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Dalam percakapan itu, Fermina mengaku turut mengunjungi Nirmala semasa dia dirawat di hospital tersebut selain mendakwa gadis itu telah lama mengidap sakit mental dan mempunyai surat doktor yang mengesahkannya.

Terdahulu, Hakim Akhtar Tahir membenarkan permohonan pihak pembelaan dengan menerima rakaman percakapan Fermina di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah itu dikemukakan sebagai bahan bukti.

Beliau memutuskan demikian atas alasan Fermina tidak lagi berada di Malaysia selain bersetuju bahawa pihak pembelaan mempunyai sumber yang terhad untuk mengesan semula gadis itu di Indonesia.

Katanya, publisiti yang meluas tentang kes penderaan Nirmala termasuk di Indonesia juga membataskan peluang pihak pembelaan untuk berusaha mengesan Fermina atas sebab-sebab keselamatan.

Pada prosiding ini, suri rumah, Yim Pek Ha, 39, sedang membela diri atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala, 22, menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004 di tempat sama.

Dalam prosiding hari ini, suami tertuduh, Hii Ik Tiing, 42, yang memberi keterangan sebagai saksi pembela ke-10 memberitahu dia telah menyediakan satu jadual pergerakannya dalam tempoh Pek Ha didakwa mencederakan Nirmala.

Katanya, jadual yang dibuat berdasarkan memori, bil-bil telefon dan kad kredit serta penyata urusan perbankan itu bertujuan memudahkan beliau mengetahui dimana dia berada selain untuk menentukan kesahihan dakwaan Nirmala.

Ditanya oleh peguam Akhbardin Abdul Kader tentang kecederaan pada badan Nirmala, Ik Tiing menolak dakwaan bahawa ia dilakukan oleh Pek Ha.

''Kalau dia beritahu tarikh tepat kejadian dia ditekap dengan seterika panas, saya boleh beritahu sama ada pada ketika itu saya berada di rumah atau tidak dan kita boleh tahu sama ada Nirmala bercakap benar atau sebaliknya.

''Ia adalah satu pembohongan. Kalau isteri saya dera Nirmala, kenapa dia tidak pernah mengadu sedangkan dia mengadu kepada saya apabila anak lelaki saya hampir terjatuh dari kerusi dalam satu insiden,'' katanya.(sumber utusan.com)

No comments: