Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Julai – Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sepatutnya berakhir 31 Julai ini akan dilanjutkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, program itu juga akan berjalan serentak dengan program pendaftaran pekerja asing tidak sah yang akan bermula pada 1 Ogos ini.
“Sasaran kita adalah supaya proses pendaftaran pekerja asing sah dan tidak sah ini dapat diselesaikan secara keseluruhannya dengan cepat.
“Dari situ barulah kita dapat tahu berapakah jumlah sebenarnya pekerja dan warga asing yang berada di dalam negara kita ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan dokumen pengenalan diri kepada 100 penduduk keturunan India di sini hari ini.
Hishammuddin menambah, proses pendaftaran biometrik pekerja asing itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana ia melibatkan soal keselamatan terutama dari sudut jenayah rentas sempadan.
Katanya, meskipun pasukan keselamatan negara ketika ini masih berjaya mengawal keselamatan membabitkan anasir luar, namun jumlah pekerja asing yang bertambah boleh memberi tekanan dan meningkatkan ancaman kepada keselamatan negara.
“Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini pada masa depan membabitkan pekerja asing ini, maka ketika itu kita sudah terlewat,” katanya.
Hishammuddin menambah, proses pendaftaran biometrik itu juga dapat membantu kerajaan menempatkan pekerja asing di sektor yang memerlukan tanpa perlu membawa masuk pekerja asing baru.
Justeru, tegas beliau, mana-mana majikan dan pekerja asing yang gagal mendaftar selepas tarikh baru yang akan diberitahu kelak tidak boleh menyalahkan kerajaan sekiranya dikenakan tindakan termasuk dihantar pulang ke negara asal.
No comments:
Post a Comment