Dalam detik-detik itu, syaitan pula bergembira dan terus mengerahkan bala tenteranya untuk menjerumuskan anak Adam ke dalam dosa.
Allah berfirman dalam surah Saba’ ayat 20, “Dan sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya…”. Apa sangkaan iblis terhadap kita?
Semasa ia dirantai sepanjang Ramadhan, iblis tahu dia pasti dapat menewaskan anak Adam semula apabila ia dilepaskan apabila Ramadhan tamat. Sangkaan iblis itu tepat.
Lalu dimanakah kita? Adakah kita termasuk sebahagian mukmin yang selamat? Atau, orang yang sangkaan iblis ke atas kita adalah benar?
Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 92, “Dan janganlah kamu menjadi seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat…”
Ramai orang tidak menyedari mengenai apa yang berlaku selepas Ramadhan. Dia kembali malas beribadat, mencuaikan ibadah fardhu, memandang enteng terhadap dosa. Adakah dia sedar, itu adalah tindakan menukar nikmat Allah dengan kekufuran. Orang sebegini disifatkan oleh al-Quran sebagai merungkai benang yang telah dipintal dengan kuat.
Alangkah indahnya pintalan benang Ramadhan. Jiwa manusia dan realiti kehidupan mereka amat memerlukannya. Pintalan itulah tempat mereka berpaut.
Bangun menentang kemungkaran itu menitipkan kemanisan iman di dalam hati dan disukai oleh para malaikat. Allah juga mengasihinya. Cubalah sedaya upaya untuk tidak menderhakai tuhan selepas Ramadhan ini. Mantapkan peribadi kita demi Islam. Umat ini amat berhajatkan kepada mukmin yang teguh ketaatannya kepada Allah.
Awas, jangan terlepas kehormatan dan kemuliaan ini. Allah mengurniakan kita nikmat beribadat yang panjang pada bulan Ramadhan. Tidak masuk akal, kita biarkan syaitan memusnahkan tanaman kita yang telah pun berhasil. Kita telah merasai nikmat beribadat, kemanisan iman, kindahan taat, kelazatan munajat, peliharalah semua itu.
Pada masa yang sama, adalah mustahil kita mampu untuk beribadat seperti pada bulan Ramadhan. Namun, kita mampu memelihara sekurang-kurangnya beberapa perkara penting sebaik tamat Ramadhan.
Apakah perkara itu?
Teruskan membaca al-Quran, walau sekadar satu muka surat sahaja sehari.
Teruskan berdoa, walau sekadar beberapa minit selepas solat.
Teruskan berzikir, walau sekadar doa-doa pagi dan petang.
Teruskan solat berjamaah, walau sekadar tiga waktu sehari semalam.
Teruskan ruh Ramadhan, dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Kita mungkin bertanya, “Adakah Allah menerima Ramadhan kita kali ini? Adakah kita bebas daripada neraka?” Siapa yang mampu menjawab soalan tadi.
Allah berfirman mengenai perkara ini dalam surah al-Mukminun ayat 60, “Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut…”
Namun di sana ada penenang kepada hati-hati kita, apa? Jawapannya, natijah Ramadhan adalah taqwa.