KUALA LUMPUR 18 Ogos - Seorang lelaki Aceh terlepas daripada hukuman mati di tali gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar 877 gram ganja, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian terhadap Sayuti Muhammad Ali, 32, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Ghazali menyatakan, pendakwa raya gagal membuktikan dua elemen penting iaitu bungkusan dadah itu gagal dimasukkan ke dalam seluar yang dipakai tertuduh ketika ditangkap seperti yang ditunjukkan dalam demonstrasi pihak pembelaan pada 8 Mei lalu dan di mana sebenarnya dadah itu ditemui.
Menurut beliau, elemen di mana dadah berkenaan dijumpai tidak dapat dibuktikan memandangkan terdapat percanggahan sama ada di rumah tertuduh atau di dalam seluarnya.
''Mahkamah juga mengambil kira keterangan bersumpah tertuduh yang berkali-kali menyatakan bahawa dadah itu berada di dalam rumah dan bukannya di dalam lif, tempat dia ditangkap.
''Versi pendakwaan berjaya disangkal oleh tertuduh dan mahkamah mendapati pegawai penyiasat tidak melakukan siasatan yang rapi dan terperinci,'' katanya.
Hakim Ghazali kemudian turut memerintahkan Sayuti dibawa ke Jabatan Imigresen untuk urusan menghantarnya pulang ke Indonesia.
Sayuti yang bekerja sebagai buruh kelihatan gembira dan tersenyum selepas keputusan itu dibacakan.
Dia yang diwakili peguam bela, Datuk Baljit Singh didakwa mengedar ganja tersebut di hadapan lif bahagian bawah Blok B, Tingkat 17 di Kampung Baru, di sini kira-kira pukul 2.30 pagi, 3 November 2004.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Geethan Ram Vincent mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment