Wednesday, June 11, 2008

KUALA LUMPUR 10 Jun - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengeluarkan notis meminta pemilik karakoke 'Mini Jakarta' di Taman Hutan Selangor Ulu Yam membuktikan ia memiliki lesen perniagaan yang sah.

Pengarah Perhubungan Awam MPS, Mohamad Zin Masaod berkata, sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh seminggu, pemilik tersebut akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 70(1) Akta 133 iaitu kompaun RM25,000.
Beliau berkata, premis yang dipercayai menjadi tempat kegiatan tidak bermoral itu telah menjalankan perniagaan tanpa lesen lebih dua tahun lalu.
"Pemiliknya mendakwa mereka mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh MPS, namun ia tidak benar.

"Oleh itu, MPS perlu menyiasat terlebih dahulu dakwaan tersebut sebelum mengambil tindakan untuk merobohkan premis berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut ke premis tersebut.

Kelmarin, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah kedai makan yang didakwa dijadikan pusat hiburan bagi pendatang asing untuk berfoya-foya berhampiran kawasan perkelahan Ulu Yam itu.

Bagi menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan kegiatan tidak bermoral, premis berkenaan hanya dibuka bermula pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi sahaja.

Dianggarkan 100 pengunjung yang terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadi pelanggan di kedai makan tersebut setiap malam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Silvilkultur dan Perlindungan Hutan, Samsu Anuar Nawi berkata, tapak premis seluas 365.4 meter persegi itu merupakan hutan simpan milik Jabatan Perhutanan Selangor.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya tidak boleh merobohkan premis berkenaan sebelum mendapat laporan lengkap daripada MPS.

Jelasnya, aktiviti-aktiviti meroboh premis perlu mendapat kebenaran ahli-ahli majlis yang telah dilantik.

"Oleh yang demikian, kami akan bekerjasama dengan MPS untuk merobohkan premis ini kelak setelah terbukti bahawa pemilik berkenaan menjalankan perniagaan tanpa permit.

"Sebelum ini, kami menghormati untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka memandangkan pemilik tersebut mendakwa MPS telah memberi lesen kepadanya," jelasnya.

1 comment:

Anonymous said...

interesting wedokumab site