KUALA LUMPUR 13 Jun - Seorang peguam memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau berjaya mendapat maklumat tentang latar belakang pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat dengan bantuan seorang paderi di Jakarta.
K. Balaguru, 53, yang memberi keterangan sebagai saksi pembela kelapan memberitahu, paderi tersebut telah menawarkan bantuan dan berkunjung ke kampung Tuapakas di Kupang, Indonesia bagi tujuan tersebut.
''Saya tidak pergi sendiri ke Tuapakas kerana seorang paderi di Jakarta yang turut membaca berita tentang Nirmala menawarkan bantuan dan saya meminta dia pergi ke sana.
''Saya membuat siasatan ini kerana saya cuba untuk tidak memihak sesiapa dan memastikan maklumat yang diberi oleh Fermina Anunut tentang sepupunya, Nirmala dan kampung mereka adalah benar,'' katanya menjawab soalan peguam Jagjit Singh pada sesi pemeriksaan utama.
Pada prosiding ini, suri rumah, Yim Pek Ha, 39, sedang membela diri atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala, 22, menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.
Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004 di tempat sama.
Menurut Balaguru yang mewakili Pek Ha pada peringkat awal perbicaraan, beliau berkunjung ke Jakarta pada Julai 2004 dan paderi tersebut telah menyerahkan kepadanya satu set foto yang dirakamkan di kampung Nirmala.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau kemudian menunjukkan foto-foto tersebut kepada sepupu Nirmala, Fermina di Ipoh, Perak yang mana gadis itu berjaya mengecamnya.
''Saya mahu menguji kredibiliti Fermina kerana ibu dan bapa saudara Nirmala menafikan mereka mengenali Fermina," katanya.
''Apabila dia berjaya mengenalpasti foto-foto yang ditunjukkan seperti gereja dan pejabat kepala desa, saya menepuk pipinya dan berkata, dia tahu apa yang dia cakap,'' jelasnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung pada 26 Jun ini.
No comments:
Post a Comment