KUALA LUMPUR 30 Jun - Permohonan pihak pembelaan agar rakaman percakapan Fermina Anunut, sepupu Nirmala Bonat kepada pihak polis empat tahun lalu diterima sebagai bahan bukti akan ditentukan oleh Mahkmah Sesyen di sini, esok.
Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendengar hujah dan hujahan balas pihak pendakwaan bagi permohonan yang dibuat di bawah Seksyen 32(i) Akta Keterangan 1950.
Pihak pembelaan membuat permohonan itu berikutan kegagalan untuk mengesan Fermina selepas dia ditamatkan perkhidmatan oleh bekas majikannya dan dihantar pulang ke Indonesia pada awal 2005.
Terdahulu, peguam Akhbardin Abdul Kader berhujah, Fermina gagal ditemui walau pelbagai usaha telah dilakukan oleh peguam, K. Balaguru untuk mengesan gadis itu di beberapa kawasan seperti Ja- karta dan Medan.
Katanya, pihak pendakwaan juga gagal menawarkan Fermina yang merupakan saksi ke-19 dalam senarai saksi pendakwa kepada pihak pembelaan dan membiarkan dia dihantar pulang oleh agensi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berkata permohonan itu perlu ditolak kerana pihak pembelaan gagal berkunjung ke Kampung Tuapakas, Indonesia sedangkan ia adalah tempat terbaik untuk mencari Fermina.
Hujahnya, dakwaan bahawa keselamatan Fermina terjejas serta kebimbangan Balaguru untuk berkunjung ke Kampung Tuapakas berikutan penyiaran artikel yang menuduh beliau menculik rakyat Indonesia juga tidak disokong oleh sebarang bukti.
Pada prosiding ini, suri rumah, Yim Pek Ha, 39, sedang membela diri atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala, 22, menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.
Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004 di tempat sama.
No comments:
Post a Comment